Panduan Kepada Deponen Semasa Temujanji Dengan Pesuruhjaya Sumpah

Panduan ini menerangkan prosedur dan keperluan  yang perlu diketahui oleh deponen semasa membuat sumpah ataupun ikrar di hadapan Pesuruhjaya Sumpah di Malaysia.

Sebelum Temujanji

1. Sediakan Dokumen Anda: Pastikan dokumen anda adalah lengkap dan sedia untuk ditandatangani. Jangan tandatangani dokumen sebelum bertemu dengan Pesuruhjaya Sumpah. 

2. Bawa Bukti Pengenalan Asal yang Sah: Anda mesti membawa MyKad asal anda (untuk warganegara Malaysia) atau paspot asal anda (untuk bukan warganegara) atau dokumen pengenalan lain yang berkaitan.

3. Ketahui Kandungan Dokumen Anda: Anda, sebagai deponen adalah bertanggungjawab untuk memahami kandungan dokumen yang ingin diikrarkan tersebut.  

Semasa Temujanji

1. Pengesahan Identiti: Pesuruhjaya Sumpah akan menyemak dokumen pengenalan asal untuk menentusahkan identiti anda. Ini adalah satu langkah yang wajib.

2. Menandatangani Dokumen:

  • Anda mesti menandatangani atau mengecap cap ibu jari anda pada dokumen tersebut di hadapan Pesuruhjaya Sumpah secara fizikal.
  • Selepas anda  menandatangani dokumen tersebut di hadapan Pesuruhjaya Sumpah, beliau akan menandatangani serta mengecap meterai ke atas dokumen tersebut untuk mengesahkan bahawa ianya telah diikrarkan di hadapan beliau dengan teratur.
  • Jika terdapat sebarang pembetulan atau perubahan pada dokumen tersebut, anda adalah bertanggungjawab untuk memaklumkan pembetulan ataupun perubahan tersebut kepada Pesuruhjaya Sumpah.

3. Apa yang Akan Dilakukan oleh Pesuruhjaya Sumpah:

  • Pesuruhjaya Sumpah akan memastikan bahawa kesemua peruntukan undang-undang di bawah Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 2018 adalah dipatuhi.
  • Beliau kemudiannya akan mengecap meterai rasmi mereka dan menandatangani dokumen tersebut. Tanpa ketiga-tiga elemen ini— yakni tandatangan deponen, tandatangan Pesuruhjaya Sumpah, dan meterai rasmi — ikrar / sumpah itu tidak akan dianggap sebagai sah.
  • Jika terdapat sebarang perubahan ke atas dokumen tersebut, Pesuruhjaya Sumpah juga akan menandatangani & mengecap meterai kecil pada perubahan itu.

Perkara Penting untuk Diingati

  • Pesuruhjaya Sumpah Boleh Menolak Perkhidmatan sekiranya mereka mempunyai sebab untuk mengesyaki terdapatnya unsur penipuan, kepalsuan, paksaan, atau sebarang kelakuan melanggar Undang-Undang yang lain berhubung dokumen yang ingin diikrarkan itu. 
  • Untuk memastikan proses ikrar yang lancar, sila buat temu janji terlebih dahulu dengan Pesuruhjaya Sumpah di sini.

Attribute: Image designed by Freepik.

Leave a comment